Pengikut

Sabtu, 19 Mac 2011

JANGAN GUNA LIF SEMASA
KECEMASAN GUNAKAN TANGGA

Ini adalah papan tanda yang terdapat di sebelah lif di setiap aras di Kolej Harun Aminurrashid. Papan tanda ini mempunyai wacana yang kurang jelas. Seorang pembaca akan membaca ayat yang pertama dulu. Pembaca akan menafsirkan bahawa jangan gunakan lif iaitu setiap masa. Setelah membaca ayat kedua baru pembaca akan menafsirkan bahawa kita dilarang menggunakan lif sewaktu kecemasan dan kita harus menggunakan tangga. Dalam papan tanda ini tidak menggunakan sebarang tanda baca seperti noktah ataupun koma. Akibatnya, isi yang hendak disampaikan kurang jelas. Oleh itu, papan tanda ini harus diubahsuai seperti yang berikut:

JANGAN GUNAKAN LIF SEMASA KECEMASAN
GUNAKAN TANGGA

Memartabatkan Perkataan-Perkataan Bahasa Melayu Lama

Hari ini saya ingin mengemukakan satu isu yang sering bermain dalam minda saya. Bahasa Melayu sebenarnya mempunyai banyak kosa kata lama yang masih boleh digunakan dalam penggunaan seharian kita. Namun begitu, kita lebih suka untuk menggunakan pinjaman bahasa Inggeris dalam bahasa Melayu. Sebenarnya, perkataan-perkataan lama dalam bahasa Melayu seharusnya dimartabatkan semula dengan menggunakannya dalam pergaulan dan penulisan seharian kita hari ini. Berikut adalah beberapa perkataan lama dalam bahasa Melayu iaitu arkaik,atma, dasawarsa dan sebagainya. Berikut adalah beberapa perkataan yang mungkin sudah dilupakan oleh masyarakat kita iaitu perkataan-perkataan bagi tujuh keturunan:

12. Buyut Panggilan lama untuk 12 keturunan dari atas
11. kalapak
10. Anin
9. Onang
8. Warin
7. Warit
6. Canggah
5. Muit
4. Moyang
3. Aki
2. ayah
1. Saya

1. Saya Panggilan untuk tujuh keturunan dari bawah
2. Anak
3. Cucu
4. Cicit
5. Cuit
6. Gamit
7. Cuntit
8. Muntit
9. Piat
10. Piut
11. Lekor
12.Beramin

Gunakan Bahasa Melayu Sepenuhnya

Dalam situasi hari ini, saya ingin membincangkan penggunaan bahasa Inggeris yang keterlaluan dalam bahasa Melayu.Saya mendapati tokoh-tokoh bahasa Melayu sendiri menggunakan perkataan bahasa Inggeris yang memang sudah ditukar kepada ejaan bahasa Melayu dalam penggunaan harian mereka. Sebagai contoh, perkataan signifikan yang sememangnya ada perkataan dalam bahasa Melayu iaitu perkataan penting. Saya berasa kita tidak perlu menggunakan perkataan pinjaman bahasa Inggeris sekiranya ada perkataan tersebut dalam bahasa Melayu. Kita beria-ria untuk memartabatkan bahasa Melayu dengan memansuhkan PPSMI. Namun begitu, tanpa disedari bahasa Inggeris masih menguasai masyarakat kita melalui bahasa Melayu sendiri. Oleh itu, saya berharap kita perlu menggunakan perkataan bahasa Melayu jika terdapat perkataan tersebut daripada menggunakan perkataan pinjaman bahasa Inggeris.

Guru Seharusnya Berperanan Sebagai Pendidik


Situasi ini berlaku kepada adik rakan saya yang sedang mengikuti tingkatan enam di sebuah sekolah di Ipoh. Pada hari sabtu yang lalu, adiknya terlewat ke sekolah kerana hujan lebat. Akibatnya, dia tidak dapat menyertai perbarisan Kadet Remaja Sekolah (KRS) dari awal lagi. Setelah adiknya sampai di padang sekolah, jurulatihnya memanggil adiknya “ hei, lembu cepat masuk perbarisan”. Perkara yang menghairankan dia merupakan seorang guru kaunseling. Seorang guru harus menghormati pelajar-pelajarnya. Guru tidak haruslah mengeluarkan perkataan seperti itu agar dirinya tidak dipandang rendah oleh murid-muridnya. Seorang guru merupakan seorang pendidik. Oleh itu, mereka hanya bertanggungjawab untuk mendidik jika pelajar melakukan kesalahan dan bukannya memaki pelajar. Ringkasnya, guru harus menunjukkan dirinya sebagai seorang yang prihatin dan penyayang.

Perbezaan antara perkataan jahat dan nakal


Hari ini saya bersama-sama rakan pergi membeli-belah di kedai yang berhampiran dengan Taman Universiti. Di situ saya telah memerhati perbualan seorang ibu dengan anak lelakinya yang mungkin berumur lima tahun. Berikut adalah perbualan mereka:
Ibu: Zam jangan berlari-lari.
Zam: Mak..mak..mak.. Zam nak ais krim.
Ibu  : Tak boleh. Duduk diam.
Budak itu terus berlari-lari di pusat membeli-belah. Perbuatan anaknya menyebabkan wanita tersebut marah.
Ibu: Budak jahat.Jangan awak berlari.
            Dalam situasi ini, wanita tersebut menggunakan perkataan jahat kepada anaknya. Masyarakat harus pandai membezakan antara perkataan jahat dengan perkataan nakal. Perkataan jahat merujuk kepada seorang pembunuh, perompak, pengkhianat negara dan mereka yang melakukan kesalahan besar. Oleh itu, kita boleh merumuskan bahawa wanita tersebut tidak menggunakan perkataan jahat mengikut situasi yang betul. Sepatutnya, wanita tersebut menggunakan perkataan nakal kepada anaknya kerana perkataan nakal merujuk kepada kanak-kanak yang selalu tidak menurut kata orang tua. Ringkasnya, kita harus menggunakan sesuatu perkataan mengikut situasi yang sebenar.
           

Selasa, 15 Mac 2011

Istilah ' Kurang Ajar'

Hari ini, saya berbual-bual dengan seorang rakan dalam telefon. Kami juga bergurau-gurauan sewaktu bercerita tentang kehidupan di universiti masing-masing. Tiba-tiba terpacul istilah ‘kurang ajar’ daripada mulut saya sewaktu bergurau senda dengan rakan tersebut. Rakan saya menegur supaya jangan menggunakan istilah ‘kurang ajar’ kerana akan menyinggung perasaan pendengar. Dia memberi alasan bahawa istilah tersebut membawa tafsiran ibu bapa atau guru tidak mendidik kita dengan baik. Dia juga menyatakan bahawa orang Melayu akan tersinggung sekiranya istilah tersebut ditujukan kepada mereka.  Saya hanya menggunakan istilah tersebut dengan tujuan bergurau. Namun, baru hari ini saya sedar bahawa istilah seperti itu tidak harus digunakan dalam pertuturan seharian. Melalui situasi ini, kita boleh merumuskan bahawa penggunaan  sesuatu perkataan ataupun istilah dalam bahasa Melayu perlu berasaskan budaya masyarakat penutur atau budaya masyarakat pendengar. Ringkasnya, kita harus mengelakkan penggunaan istilah seperti ‘kurang ajar’ dalam pertuturan seharian supaya tidak menyinggung perasaan orang lain.

Rancangan Siaran Televisyen Menggunakan Bahasa Rojak

Hari ini saya mengkaji rancangan ‘ Apa Kata Wanita Hari Ini’untuk meneliti tautan kolokasi dalam rancangan tersebut bagi kursus Analisis Wacana. Saya mendapati rancangan tersebut sangat baik dari segi idea. Namun begitu, rancangan itu kurang baik dari segi penggunaan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Rojak iaitu percampuran bahasa Inggeris dan bahasa Melayu yang amat ketara dalam kalangan penemu bual.  Maklumat yang ingin disampaikan juga tidak begitu jelas kerana penggunaan bahasa Rojak. Penggunaan bahasa Melayu tanpa mencampurkan bahasa lain penting dalam sesuatu rancangan televisyen. Rancangan seperti ini memberi kesan langsung terhadap kedudukan bahasa Melayu.  Sesiapa yang menonton rancangan seperti ini akan terpengaruh dengan penggunaan bahasa Rojak tersebut. Akibatnya, mereka juga akan mula menggunakan bahasa seperti itu dalam pertuturan seharian mereka. Ringkasnya, rancangan yang menggunakan bahasa Rojak memberi kesan jangka panjang terhadap penggunaan bahasa Melayu. Oleh itu, pihak penganjur mestilah menggalakkan penemu bual dalam sesuatu rancangan agar menggunakan bahasa Melayu yang baik.