JANGAN GUNA LIF SEMASA
KECEMASAN GUNAKAN TANGGA
Ini adalah papan tanda yang terdapat di sebelah lif di setiap aras di Kolej Harun Aminurrashid. Papan tanda ini mempunyai wacana yang kurang jelas. Seorang pembaca akan membaca ayat yang pertama dulu. Pembaca akan menafsirkan bahawa jangan gunakan lif iaitu setiap masa. Setelah membaca ayat kedua baru pembaca akan menafsirkan bahawa kita dilarang menggunakan lif sewaktu kecemasan dan kita harus menggunakan tangga. Dalam papan tanda ini tidak menggunakan sebarang tanda baca seperti noktah ataupun koma. Akibatnya, isi yang hendak disampaikan kurang jelas. Oleh itu, papan tanda ini harus diubahsuai seperti yang berikut:
JANGAN GUNAKAN LIF SEMASA KECEMASAN
GUNAKAN TANGGA
Pengikut
Sabtu, 19 Mac 2011
Memartabatkan Perkataan-Perkataan Bahasa Melayu Lama
Hari ini saya ingin mengemukakan satu isu yang sering bermain dalam minda saya. Bahasa Melayu sebenarnya mempunyai banyak kosa kata lama yang masih boleh digunakan dalam penggunaan seharian kita. Namun begitu, kita lebih suka untuk menggunakan pinjaman bahasa Inggeris dalam bahasa Melayu. Sebenarnya, perkataan-perkataan lama dalam bahasa Melayu seharusnya dimartabatkan semula dengan menggunakannya dalam pergaulan dan penulisan seharian kita hari ini. Berikut adalah beberapa perkataan lama dalam bahasa Melayu iaitu arkaik,atma, dasawarsa dan sebagainya. Berikut adalah beberapa perkataan yang mungkin sudah dilupakan oleh masyarakat kita iaitu perkataan-perkataan bagi tujuh keturunan:
12. Buyut Panggilan lama untuk 12 keturunan dari atas
11. kalapak
10. Anin
9. Onang
8. Warin
7. Warit
6. Canggah
5. Muit
4. Moyang
3. Aki
2. ayah
1. Saya
1. Saya Panggilan untuk tujuh keturunan dari bawah
2. Anak
3. Cucu
4. Cicit
5. Cuit
6. Gamit
7. Cuntit
8. Muntit
9. Piat
10. Piut
11. Lekor
12.Beramin
12. Buyut Panggilan lama untuk 12 keturunan dari atas
11. kalapak
10. Anin
9. Onang
8. Warin
7. Warit
6. Canggah
5. Muit
4. Moyang
3. Aki
2. ayah
1. Saya
1. Saya Panggilan untuk tujuh keturunan dari bawah
2. Anak
3. Cucu
4. Cicit
5. Cuit
6. Gamit
7. Cuntit
8. Muntit
9. Piat
10. Piut
11. Lekor
12.Beramin
Gunakan Bahasa Melayu Sepenuhnya
Dalam situasi hari ini, saya ingin membincangkan penggunaan bahasa Inggeris yang keterlaluan dalam bahasa Melayu.Saya mendapati tokoh-tokoh bahasa Melayu sendiri menggunakan perkataan bahasa Inggeris yang memang sudah ditukar kepada ejaan bahasa Melayu dalam penggunaan harian mereka. Sebagai contoh, perkataan signifikan yang sememangnya ada perkataan dalam bahasa Melayu iaitu perkataan penting. Saya berasa kita tidak perlu menggunakan perkataan pinjaman bahasa Inggeris sekiranya ada perkataan tersebut dalam bahasa Melayu. Kita beria-ria untuk memartabatkan bahasa Melayu dengan memansuhkan PPSMI. Namun begitu, tanpa disedari bahasa Inggeris masih menguasai masyarakat kita melalui bahasa Melayu sendiri. Oleh itu, saya berharap kita perlu menggunakan perkataan bahasa Melayu jika terdapat perkataan tersebut daripada menggunakan perkataan pinjaman bahasa Inggeris.
Guru Seharusnya Berperanan Sebagai Pendidik
Situasi ini berlaku kepada adik rakan saya yang sedang mengikuti tingkatan enam di sebuah sekolah di Ipoh. Pada hari sabtu yang lalu, adiknya terlewat ke sekolah kerana hujan lebat. Akibatnya, dia tidak dapat menyertai perbarisan Kadet Remaja Sekolah (KRS) dari awal lagi. Setelah adiknya sampai di padang sekolah, jurulatihnya memanggil adiknya “ hei, lembu cepat masuk perbarisan”. Perkara yang menghairankan dia merupakan seorang guru kaunseling. Seorang guru harus menghormati pelajar-pelajarnya. Guru tidak haruslah mengeluarkan perkataan seperti itu agar dirinya tidak dipandang rendah oleh murid-muridnya. Seorang guru merupakan seorang pendidik. Oleh itu, mereka hanya bertanggungjawab untuk mendidik jika pelajar melakukan kesalahan dan bukannya memaki pelajar. Ringkasnya, guru harus menunjukkan dirinya sebagai seorang yang prihatin dan penyayang.
Perbezaan antara perkataan jahat dan nakal
Hari ini saya bersama-sama rakan pergi membeli-belah di kedai yang berhampiran dengan Taman Universiti. Di situ saya telah memerhati perbualan seorang ibu dengan anak lelakinya yang mungkin berumur lima tahun. Berikut adalah perbualan mereka:
Ibu: Zam jangan berlari-lari.
Zam: Mak..mak..mak.. Zam nak ais krim.
Ibu : Tak boleh. Duduk diam.
Budak itu terus berlari-lari di pusat membeli-belah. Perbuatan anaknya menyebabkan wanita tersebut marah.
Ibu: Budak jahat.Jangan awak berlari.
Dalam situasi ini, wanita tersebut menggunakan perkataan jahat kepada anaknya. Masyarakat harus pandai membezakan antara perkataan jahat dengan perkataan nakal. Perkataan jahat merujuk kepada seorang pembunuh, perompak, pengkhianat negara dan mereka yang melakukan kesalahan besar. Oleh itu, kita boleh merumuskan bahawa wanita tersebut tidak menggunakan perkataan jahat mengikut situasi yang betul. Sepatutnya, wanita tersebut menggunakan perkataan nakal kepada anaknya kerana perkataan nakal merujuk kepada kanak-kanak yang selalu tidak menurut kata orang tua. Ringkasnya, kita harus menggunakan sesuatu perkataan mengikut situasi yang sebenar.
Selasa, 15 Mac 2011
Istilah ' Kurang Ajar'
Hari ini, saya berbual-bual dengan seorang rakan dalam telefon. Kami juga bergurau-gurauan sewaktu bercerita tentang kehidupan di universiti masing-masing. Tiba-tiba terpacul istilah ‘kurang ajar’ daripada mulut saya sewaktu bergurau senda dengan rakan tersebut. Rakan saya menegur supaya jangan menggunakan istilah ‘kurang ajar’ kerana akan menyinggung perasaan pendengar. Dia memberi alasan bahawa istilah tersebut membawa tafsiran ibu bapa atau guru tidak mendidik kita dengan baik. Dia juga menyatakan bahawa orang Melayu akan tersinggung sekiranya istilah tersebut ditujukan kepada mereka. Saya hanya menggunakan istilah tersebut dengan tujuan bergurau. Namun, baru hari ini saya sedar bahawa istilah seperti itu tidak harus digunakan dalam pertuturan seharian. Melalui situasi ini, kita boleh merumuskan bahawa penggunaan sesuatu perkataan ataupun istilah dalam bahasa Melayu perlu berasaskan budaya masyarakat penutur atau budaya masyarakat pendengar. Ringkasnya, kita harus mengelakkan penggunaan istilah seperti ‘kurang ajar’ dalam pertuturan seharian supaya tidak menyinggung perasaan orang lain.
Rancangan Siaran Televisyen Menggunakan Bahasa Rojak
Hari ini saya mengkaji rancangan ‘ Apa Kata Wanita Hari Ini’untuk meneliti tautan kolokasi dalam rancangan tersebut bagi kursus Analisis Wacana. Saya mendapati rancangan tersebut sangat baik dari segi idea. Namun begitu, rancangan itu kurang baik dari segi penggunaan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Rojak iaitu percampuran bahasa Inggeris dan bahasa Melayu yang amat ketara dalam kalangan penemu bual. Maklumat yang ingin disampaikan juga tidak begitu jelas kerana penggunaan bahasa Rojak. Penggunaan bahasa Melayu tanpa mencampurkan bahasa lain penting dalam sesuatu rancangan televisyen. Rancangan seperti ini memberi kesan langsung terhadap kedudukan bahasa Melayu. Sesiapa yang menonton rancangan seperti ini akan terpengaruh dengan penggunaan bahasa Rojak tersebut. Akibatnya, mereka juga akan mula menggunakan bahasa seperti itu dalam pertuturan seharian mereka. Ringkasnya, rancangan yang menggunakan bahasa Rojak memberi kesan jangka panjang terhadap penggunaan bahasa Melayu. Oleh itu, pihak penganjur mestilah menggalakkan penemu bual dalam sesuatu rancangan agar menggunakan bahasa Melayu yang baik.
Gelaran Biar Betul Dan Baik
Saya teringatkan satu situasi yang sering berlaku sewaktu saya menyertai unit beruniform Jabatan perkhidmatan Awam. Jurulatih saya berasal dari daerah Ipoh. Saya sendiri sememangnya berasal dari daerah Ipoh. Saya menetap di bandar Menglembu di daerah Ipoh. Oleh itu, jurulatih selalu memanggil saya dengan gelaran lembu. Saya tidak pernah tersinggung dengan gelaran tersebut kerana saya memahami makna tersirat gelaran lembu iaitu orang Menglembu. Namun begitu, saya berasa amat malu apabila beberapa rakan lain mula menyindir saya dengan gelaran yang sama. Sebenarnya, mereka tidak mengetahui sebab jurulatih tersebut memanggil saya dengan gelaran lembu. Akhirnya, saya terpaksa menjelaskan kepada rakan-rakan tersebut agar mereka berhenti daripada menyindir saya. Berdasarkan situasi ini, kita harus menggunakan gelaran yang sesuai ketika memanggil seseorang. Gelaran yang digunakan seharusnya tidak disalahtafsirkan oleh orang lain. Gelaran yang ditujukan juga tidak harus menyinggung perasaan seseorang itu.
Isnin, 14 Mac 2011
Bahasa Tamil Bukan Bahasa India
Kesalahan bahasa sering berlaku dalam kalangan masyarakat ketika mengkategorikan bahasa sesuatu bangsa terutamanya bahasa masyarakat India. Sejak dahulu lagi, saya sering terdengar masyarakat menyebut bahasa India dalam pertuturan seharian mereka. Masyarakat harus memahami bahawa perkataan 'India' merujuk kepada bangsa. Perkataan 'Tamil' merujuk kepada bahasa. Oleh itu, masyarakat haruslah menyebut bahasa Tamil dan bukannya bahasa India. Bangsa India terbahagi kepada orang Tamil, orang Hindi, orang Malayalam, orang Telegu dan orang Punjabi dan sebagainya. Orang Malayalam mempunyai bahasanya sendiri iaitu bahasa Malayalam. Orang Punjabi dan orang Hindi masing-masing mempunyai bahasanya sendiri iaitu bahasa Punjabi dan bahasa Hindi. Kesemua masyarakat ini tergolong dalam satu bangsa iaitu bangsa India. Ini bermakna kita tidak boleh menggunakan bahasa India hanya untuk merujuk bahasa Tamil sahaja kerana bahasa India bermaksud semua bahasa masyarakat India seperti bahasa Telegu, Malayalam, Hindi, Tamil, Punjabi dan sebagainya. Ringkasnya, perkataan 'India' merujuk kepada bangsa manakala perkataan 'Tamil' merujuk kepada bahasa.
Jumaat, 11 Mac 2011
Jurujual Wanita Bukan Penjual Gadis
Gambar ini menunjukkan kesalahan bahasa yang keterlaluan. Penterjemahan bahasa Inggeris secara terus kepada bahasa Melayu akan mewujudkan kesalahan bahasa. Berdasarkan gambar ini, perkataan 'sales girls' sepatutnya digantikan dengan perkataan 'jurujual wanita' dan bukanya 'penjual gadis'. Perkataan 'penjual gadis' membawa makna yang negatif. Sekaligus, perkataan ini akan disalahtafsirkan oleh masyarakat yang membacanya. Masyarakat yang kurang berpendidikan juga akan menganggap perkataan ini betul dan mereka akan menggunakan perkataan ini secara luas dalam kehidupan seharian. Sekiranya, iklan-iklan yang tidak menggunakan bahasa Melayu yang betul akan meninggalkan kesan terhadap penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat. Saya berharap pihak-pihak yang hendak menghasilkan iklan-iklan harus menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul. Oleh itu, pihak-pihak yang terlibat harus merujuk kepada seseorang yang pakar dalam bahasa Melayu sebelum menghasilkan sebarang iklan.
'
Iklan Petronas 2001
Iklan ini menarik perhatian saya untuk memaparkannya dalam blog Sosiolinguistik. Iklan ini mengisahkan seorang kanak-kanak yang berdoa agar Tuhan menyelamatkan ayahnya yang belum pulang. Seterusnya, kanak-kanak ini berdoa untuk kanak-kanak di negara yang sedang berlaku peperangan supaya ayah mereka juga pulang untuk Hari Raya. Iklan ini menunjukkan amalan berdoa amat penting dalam kehidupan manusia. Sikap baik hati sesama manusia juga penting dalam hidup kita. Walaupun kanak-kanak itu tidak mengenal budak-budak di dalam peperangan tetapi dia berdoa agar ayah mereka juga pulang untuk beraya. Kasih sayang antara sesama insan adalah motif iklan ini. Ringkasnya, amalan berdoa dan kasih sayang antara sesama insan diutamakan dalam iklan ini. Oleh itu, kita perlula berdoa dan menyayangi semua insan dalam dunia ini.
Bahasa SMS
http://maharamdotcom.blogspot.com/2009/01/bahasa-sms.html
Mengikut pandangan saya, bahasa SMS mencemarkan bahasa Melayu. Saya lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris ketika menghantar pesanan ringkas kepada kawan. Hal ini disebabkan saya memang tidak pandai menggunakan singkatan dalam bahasa Melayu. Saya juga berasa penggunaan singkatan dalam bahasa Melayu secara berleluasa akan mencemarkan bahasa Melayu. Alasan ini saya kemukakan kepada seorang rakan yang menegur saya kerana menggunakan bahasa Inggeris ketika menghantar pesanan ringkas kepada rakan lain. Berikut adalah situasi perbualan kami:
Mengikut pandangan saya, bahasa SMS mencemarkan bahasa Melayu. Saya lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris ketika menghantar pesanan ringkas kepada kawan. Hal ini disebabkan saya memang tidak pandai menggunakan singkatan dalam bahasa Melayu. Saya juga berasa penggunaan singkatan dalam bahasa Melayu secara berleluasa akan mencemarkan bahasa Melayu. Alasan ini saya kemukakan kepada seorang rakan yang menegur saya kerana menggunakan bahasa Inggeris ketika menghantar pesanan ringkas kepada rakan lain. Berikut adalah situasi perbualan kami:
Yus: Awak guna bahasa Inggeris ketika hantar sms? Gunalah bahasa Melayu.
Saya: Saya tidak suka menggunakan bahasa Melayu. Saya tidak suka mencemarkan bahasa Melayu dengan penggunaan singkatan-singkatan yang tidak betul. Lagipun saya senang menggunakan bahasa Inggeris.
Yus: Tak macam itu. Kamu gunakan bahasa Melayulah. Kitakan kursus bahasa Melayu.
Saya: Saya tak faham bahasa singkatan yang keterlaluan. Hari itu kawan saya hantar pesanan ringkas.Saya langsung tak faham pesanan yang dihantarnya. Kawan saya hantar pesan ringkas seperti yang berikut:
pn2 tup. mari buka krg
Yus: Pin 2 maksudnya pintu tutup. Mari buka sekarang.
Saya: Itulah sebabnya saya tidak suka menggunakan bahasa Melayu ketika menghantar pesanan ringkas.
Berdasarkan situasi ini, saya berasa penggunaan singkatan yang keterlaluan dalam bahasa Melayu akan mencemarkan bahasa Melayu. Saya menyeru kepada orang ramai agar menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Kita tidak mampu menyelamatkan bahasa Melayu dengan hanya memansuhkan PPSMI sahaja. Penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul oleh masyarakat keseluruhan akan menjamin martabat bahasa Melayu.
Kesantunan Bahasa di Kaunter Pertanyaan
Kaunter Pertanyaan merupakan tempat orang ramai berkunjung untuk sesuatu urusan. Namun begitu, kesantunan berbahasa di Kaunter Pertanyaan terutama di jabatan-jabatan universiti semakin berkurangan. Perhatikan situasi di bawah ini:
Pelajar: Selamat sejahtera puan. Saya ingin mendapatkan tandatangan daripada Timbalan Dekan.
Kerani: Untuk apa? (suara keras).
Pelajar: Saya ingin menambahkan jam kredit.
Kerani: Kamu pergi mendapatkan tandatangan sendiri. Kemudian balik semula ke sini, Baru saya akan buka
online.
Pelajar ini mendapati terdapat satu memo dilekatkan di pintu bilik Timbalan Dekan. Memo tersebut menyatakan bahawa sebarang borang yang perlu mendapatkan tandatangan daripadanya boleh dihantar ke Kaunter Pertanyaan. Oleh itu, pelajar tesebut pergi semula ke Kaunter Pertanyaan.
Kerani: Sudah dapat tandatangan?(suara keras)
Pelajar: Belum lagi. Saya terlihat memo di pintu bilik Timbalan Dekan menyatakan bahawa borang boleh
dihantar di sini untuk mendapatkan tandatangan daripadanya.
Kerani: Oh, yakah. Kalau Timbalan Dekan dah suruh, apa saya boleh buat. Hantarlah borang di sini.Nanti
esok atau lusa awak datang sini untuk ambil borang ini ya. (suara yang lembut dan sopan)
Pelajar: Terima Kasih.
Berdasarkan situasi ini, anda semua boleh perhatikan kelakuan kerani tersebut yang tiba-tiba bertukar menjadi baik setelah memahami arahan Timbalan Dekan dalam memo tersebut. Perkara ini menunjukkan kesantunan berbahasa di Kaunter Pertanyaan kurang memuaskan. Kesantunan berbahasa mereka hanya terserlah pada waktu-waktu yang tertentu sahaja. Seharusnya, kesantunan berbahasa perlu diutamakan di semua Kaunter Pertanyaan kerana perkara ini terkandung dalam etika kerjaya mereka. Jika mereka tidak mengamalkan kesantunan berbahasa di Kaunter Pertanyaan bermakna mereka sudah melanggar etika kerjaya. Sesungguhnya, kesantunan berbahasa mencerminkan peribadi seseorang. Oleh itu, saya berharap agar semua pihak yang terlibat dalam kerjaya ini harus mengamalkan kesantunan berbahasa ketika berurusan dengan semua pihak.
Khamis, 10 Mac 2011
Mata Sebagai Alat Komunikasi
Pada hari sabtu yang lalu, saya bercadang untuk membeli langsir di Kamdar. Setelah sampai di sana, saya mendapatkan seorang penjual untuk menyoal tentang harga langsir. Saya mendapati penjual tersebut langsung tidak memandang ke arah mata saya ketika berkomunikasi. Saya berasa kurang selesa apabila penjual itu berkomunikasi sambil memandang ke tempat lain. Saya cuba menarik perhatian penjual tersebut supaya memandang ke arah mata saya tetapi saya tidak berjaya melakukan perkara itu. Akibatnya, maklumat harga yang hendak disampaikan oleh penjual tersebut tidak dapat saya fahami. Saya beredar dari tempat itu untuk mencari penjual langsir yang lain. Melalui situasi ini, kita boleh merumuskan bahawa mata memainkan peranan yang penting dalam komunikasi. Mata adalah salah satu aspek bahasa badan kita yang membantu komunikasi verbal. Oleh itu, sesuatu maklumat yang hendak disampaikan perlu disokong oleh bahasa badan kita seperti mata. Ketika komunikasi seseorang itu haruslah saling memandang mata agar penyampaian dan penerimaan maklumat berlaku dengan berkesan. Keikhlasan seseorang ketika berkomunikasi juga boleh diperhatikan melalui mata.
Selasa, 8 Mac 2011
Manusia Pelbagai Ragam
Situasi ini ditulis berdasarkan manusia yang pelbagai ragam. Situasi ini merupakan situasi yang paling saya gemari. Saya berjumpa dengan pelbagai ragam manusia sepanjang tiga tahun di UPSI. Situasi ini berlaku di depan mata saya antara seorang rakan A dengan rakan B. Saya mendapati terdapat perselisihan faham antara dua orang rakan ini. Rakan A ini mengadu masalahnya kepada rakan C yang merupakan kawan baik bagi kedua-dua rakan ini. Rakan C ini cuba memainkan peranan batu api iaitu dengan menyatakan bahawa rakan B ini memang seorang yang sombong dan suka mengeluarkan perkataan dengan cepat. Rakan A menyatakan bahawa memang masalah ini berpunca daripada dirinya dan dia cuba menyokong rakannya B. Tiba-tiba rakan C memainkan peranannya sebagai lalang dengan menyatakan bahawa memang rakan A perlu mengubah sikapnya dan awak tidak boleh menyalahkan rakan B semata-mata. Kemudian pada hari kedua, saya mendapati rakan C ini bergelak ketawa dengan rakan B. Saya berasa amat takut melihat dengan perwatakan seperti ini. Wujud beberapa persoalan dalam diri saya. Adakah rakan C ini boleh dipercayai? Jika dia memburukkan rakan B dari belakang dan kemudian bergelak ketawa di hadapannya, mungkin dia akan melakukan perkara yang sama terhadap rakan A. Adakah dia betul-betul menyokong rakan A atau seorang yang bersifat seperti lalang. Berdasarkan situasi ini, saya menyeru rakan-rakan semua agar jangan sesekali percaya terhadap orang yang selalu memburukkan orang lain dibelakang tetapi bercakap dengan manis di hadapannya. Jika dia mampu melakukan terhadap rakan lain dia juga akan melakukan perkara yang sama terhadap diri anda. Oleh itu. jagalah diri anda daripada rakan-rakan yang tikam dari belakang anda. Bagi saya seorang musuh yang berperang dengan bersemuka lebih baik daripada seorang rakan yang menikam kita dari belakang.
Pantun dalam Kehidupan Seharian
Situasi ini berlaku antara beberapa rakan saya yang berpantun ketika berada di dewan makan sebuah majlis perkahwinan. Saya amat kagum apabila rakan-rakan saya menggunakan pantun untuk bertelagah. Namun begitu, saya mendapati rakan-rakan ini tidak menepati ciri-ciri pantun yang ditetapkan oleh masyarakat dahulu kala. Terdapat rakan yang tidak mematuhi ciri-ciri pantun empat kerat. Mereka banyak melakukan kesilapan rima pantun empat kerat iaitu tidak mematuhi rima a b a b. Ramai antara mereka menggunakan rima mengikut keselesaan mulut mereka. berdasarkan situasi ini, saya ingin menegaskan bahawa pantun merupakan khazanah peninggalan nenek moyang kita. Oleh itu, kita harus mematuhi setiap ciri-ciri pantun yang ditetapkan oleh mereka. Sebagai contoh, pantun empat kerat mesti mempunyai dua pembayang, dua maksud dan rima abab. Saya tidak menghalang sesiapa yang berani mencuba untuk berpantun tetapi seseorang itu harus mematuhi ciri-ciri sesebuah pantun sebelum melafazkannya. Perkara ini penting untuk memelihara khazanah Melayu lama yang sudah sebati dengan jiwa masyarakat Melayu.
E Pepet atau E Taling
Saya merupakan peminat setia Majalah Pelita Bahasa. Majalah ini selalu memberi maklumat-maklumat yang menarik tentang bahasa Melayu. Pada bulan Disember 2010 yang lalu, majalah ini ada membincangkan isu penyebutan perkataan yang mempunyai huruf e dalam bahasa Melayu. Hal ini berlaku kerana ada dua bentuk e dalam bahasa Melayu iaitu e pepet dan e taling. Saya sememangnya bukan penutur asli bahasa Melayu. Oleh itu, masalah ini amat bersinonim dengan diri saya. Berdasarkan masalah penyebutan ini, majalah ini memberikan beberapa penerangan untuk menyebut perkataan yang terdiri daripada e pepet dan e taling. Berikut adalah penerangan yang terdapat dalam majalah ini:
- E pepet suku kata pertama jika suku kata kedua huruf u: bebuli, beduk, dan betul
- Jika suku kata kedua huruf o, suku kata pertama e taling: lelok. depoh dan herot
- Jika suku kata pertama e pepet, suku kata kedua i : beli,remis dan resit
- Jika suku kata pertama o, suku kata kedua e taling: oleh, boleh, poket dan solek
- Jika perkataan tiga suku kata dan suku kata kedua itu ialah o, suku kata pertama ialah e pepet: bebola, ceroboh, gelodak, gelojah dan kelompok
- Jika suku kata kedua dan suku kata ketiga ialah e taling, suku kata pertama ialah e pepet: keledek, kelepet dan seleweng
Saya juga mendapati bahawa e taling juga digunakan untuk mengeja kata pinjaman bahasa Inggeris seperti benzin, deduktif, defendan, deskripsi, generasi, genetik, mekanik festival, fesyen. Perkataan yang mempunyai pasangan suku kata e dan a sukar untuk dibezakan sama ada e pepet atau e taling yang menggunakan pasangan vokal a bagi suku kata kedua. Sebagai contoh perkataan bebas, becak, dekad, dan enak. Berdasarkan perbincangan ini saya masih tidak pasti penyebutan bagi satu perkataan iaitu debat. Kebanyakan masayarakat asli bahasa Melayu menggunakan e pepet dalam penyebutan perkataan debat. Namun begitu, dalam majalah ini menyatakan bahawa kata pinjaman bahasa Inggeris perlu menggunakan e taling. Masih wujud persoalan bahawa semua perkataan pinjaman bahasa Inggeris perlu menggunakan e taling ataupun masih ada kekecualian untuk beberapa perkataan. Kajian lanjutan perlu dilakukan agar kekeliruan ketika menyebut perkataan pinjaman bahasa Inggeris yang mempunyai huruf e dapat diselesaikan.
Isnin, 7 Mac 2011
Jangan Bersifat Autokratik Dalam Perbincangan Kumpulan
Situasi ini dialami oleh rakan saya. Situasi ini telah menarik perhatian saya untuk menulis di ruang blog Sosiolinguistik. Rakan saya dan ahli kumpulannya sedang berbincang untuk membuat sebuah kamus bagi tugasan kursus Bahasa Moden iaitu Bahasa Mandarin. Berikut adalah perbualan mereka ketika berbincang:
Miza: Cantik gambar yang awak lukis.
Liza : Yalah, saya hendak sertakan gambar ini dalam kamus yang kita buat nanti.
Farah:Saya berpendapat bahawa beberapa gambar dalam kamus ini tidak sesuai dengan makna yang diberikan. Kalau boleh nanti kita baiki gambar itu bersama.
Tina: Kamu jangan cakap macam itu. Kalau tidak nanti saya akan keluarkan kamu dari kumpulan ini.
Farah: Saya hanya bagi pendapat.
Miza: Maafkan rakan saya. Dia tak sengaja. Kamu buatlah apa yang kamu suka.
Berdasarkan situasi diatas, kita harus berbincang untuk membuat sesuatu keputusan. Kita tidak harus bersifat autokratik dalam perbincangan kumpulan. Perbincangan seperti ini tidak akan membawa sebarang manfaat kepada kumpulan atau hasil tugasan yang dilakukan. Walaupun kita tidak dapat menerima pendapat seseorang, kita masih perlu menolak pendapat tersebut dengan alasan-alasan yang wajar. Penggunaan bahasa yang sopan ketika berkomunikasi amat penting demi kebaikan semua orang. Oleh itu, amalkanlah budi bahasa ketika berbincang dalam kumpulan atau di mana-mana sahaja kita berada. Budi bahasa budaya kita.
Rabu, 2 Mac 2011
Kesantunan Dalam Pertuturan Seharian
Hari ini saya dan rakan-rakan lain menghadiri taklimat berkaitan praktikum oleh Timbalan Naib Canselor bersama Unit Latihan Mengajar. Saya mendengar taklimat ini dengan teliti. Beliau telah menjelaskan tarikh praktikum, penyelesaian bagi penempatan pelajar ke sesebuah sekolah dan juga penyelesaian bagi masalah PTPTN. Sewaktu, sesi soal jawab ramai pelajar yang bertanya soalan untuk mendapatkan penjelasan daripada Timbalan Naib Canselor dan Unit Latihan Mengajar. Seorang pelajar lelaki telah menarik perhatian saya dalam taklimat ini untuk menjadikan dia sebagai topik dalam situasi sosiolinguistik. Kesantunan pelajar lelaki itu ketika mengutarakan soalan kepada pihak atasan amat menarik perhatian Timbalan Naib Canselor sehingga beliau sendiri memujinya sebagai seorang pelajar yang sangat baik dan sopan. Berikut adalah cara pelajar tersebut ketika mengutarakan soalan:
‘Kami ingin mendapatkan kebenaran untuk melibatkan diri dalam perbarisan Palapes yang akan diadakan di Universiti Tun Hussein sewaktu tempoh praktikum. Perbarisan itu adalah selama empat hari. Oleh itu, kami memohon kebenaran untuk bercuti bagi mengikuti perbarisan itu. Saya berharap kebenaran kami akan dipertimbangkan oleh Unit Latihan Mengajar. Walau apa pun keputusan Unit Latihan Mengajar dan UPSI, kami akan tetap mengakuri dengan keputusan itu. Sekian terima kasih.
Pernyataan ini menyebabkan Timbalan Naib Canselor memuji pelajar itu dengan menyatakan pelajar itu menunjukkan sikap kesantunan yang sesuai sebagai anggota Palapes. Hasilnya, Timbalan Naib Canselor memberi jaminan bahawa permohonan mereka bercuti untuk mengikuti perbarisan Palapes sewaktu praktikum akan diluluskan. Berdasarkan situasi ini, kita boleh membuat satu kesimpulan bahawa kesantunan dan budi bahasa diri seseorang amat penting dalam kehidupan seharian terutamanya dalam pertuturan. Seseorang yang mempunyai kesantunan yang tinggi dapat mencapai perkara yang dingini dengan senang. Ketika berkomunikasi dengan seseorang kita perlu menjaga kesantunan pertuturan kerana pertuturan yang sopan dapat menyejukkan hati mereka sebagai pendengar. Saya berharap agar semua pelajar mengamalkan kesantunan ketika berkomunikasi dengan seseorang.
Data Korpus atau Buku RujukanTatabahasa
Hari ini saya bersama dengan ahli kumpulan yang lain berbincang untuk pembentangan semantik. Tajuk perbincangan kami adalah penggunaan kata hubung gabungan ‘dan’ dan ‘tetapi’ di awal ayat. Berikut adalah situasi perbualan kami:
Lina :Mengapa kita tidak boleh menggunakan kata hubung dan dan tetapi di awal ayat?
Tina :Sebab kita perlu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh tatabahasa. Menurut tatabahasa, kata hubung hanya boleh digunakan sebagai penghubung kata, frasa ataupun ayat.
Fakri :Sebenarnya, tak salah menggunakan kata hubung ini di awal ayat. Jika kita melihat ramai yang menggunakannya di awal ayat.
Hani :Ya, betul jika kita melihat data korpus, ramai penutur asli menggunakan kata hubung dan dan tetapi di awal ayat
Lina : Mana satu yang betul? Data korpus atau tatabahasa?
Fakri :Kita perlu mengakui bahawa bahasa adalah anugerah Tuhan. Penutur asli bahasa Melayu tidak sewenang-wenang menuturkan sesuatu bahasa. Kita perlu mengakui bahawa penutur asli mempunyai keupayaan berbahasa sendiri.
Hani :Kalau macam itu, kita tidak boleh mengubah mereka yang menggunakan kata hubung dan dan tetapi di awal ayat.
Lina :Ya, betul.
Hani :Kita perlulah mengkaji balik tatabahasa dan data korpus agar mendapat satu penyelesaian.
Lina :Saya pun berasa begitu.
Fakri: Baiklah, kita buat sekarang slaid yang perlu dibentangkan esok.
Berdasarkan situasi di atas, kita menghadapai masalah penggunaan kata hubung gabungan dan dan tetapi di dalam ayat. Saya berasa penggunaan data korpus itu lagi penting untuk mengkaji semula fungsi kata hubung gabungan dan dan tetapi. Sebenarnya, ramai penutur asli menggunakan kata hubung ini di awal ayat. Kita tidak boleh menyalahkan bahawa penutur asli ini salah menggunakan kata hubung gabungan kerana mereka mempunyai keupayaan berbahasa sendiri.Oleh itu, kajian selanjutnya perlu dilakukan untuk merumus semula fungsi kata hubung gabungan. Kajian ini perlu melihat penggunaan kata hubung ini melebihi batas ayat iaitu wacana ataupun dalam konteks.
Kolokasi
Hari ini saya belajar kaitan kolokasi dengan wacana di dalam kelas Analisis Wacana. Sesuatu perkataan ada kolokasinya. Perkataan yang tidak berkolokasi tidak boleh menghasilkan sesuatu wacana yang mantap. Sebagai contoh:
Contoh : Kita harus bangga dengan pejuang-pejuang tanah air yang sudah pupus.
Perkataan pupus sebenarnya tidak berkolokasi dengan pejuang-pejuang tanah air. Perkataan pupus selalunya dikaitkan dengan benda, tumbuhan dan haiwan. Perkataan pupus perlu diganti dengan perkataan lain yang bersesuaian ataupun berkolokasi dengan perkataan pejuang-pejuang tanah air.
Contoh : Baju kena jahit.
Perkataan ‘kena’ tidak berkolokasi dengan jahit. Perkataan ‘kena’ selalu membawa makna negatif seperti kena pukul, kena marah, kena jatuh dan sebagainya. Oleh itu, perkataan ‘ kena’ perlu diganti dengan perkataan ‘perlu’bagi mewujudkan kolokasi dalam ayat.
Saya mendapati kolokasi penting dalam menghasilkan sesuatu wacana yang bermakna. Penggunaan perkataan dalam sesuatu ayat ataupun perenggan perlu diberi perhatian agar menghasilkan sesuatu wacana yang mantap sama ada dalam pertuturan seharian ataupun penulisan.
Selasa, 1 Mac 2011
Perbezaan penyebutan perkataan Selangor dan Klang dalam kalangan masyarakat
Perbezaan penyebutan beberapa perkataan dalam kalangan masyarakat Melayu dan dalam masyarakat India menjadi perhatian saya. Mengapakah perbezaan penyebutan ini berlaku? Sebenarnya masyarakat India menyebut perkataan tersebut mengikut lidah mereka sendiri iaitu percampuran penyebutan bahasa Tamil. Sebagai contoh perkataan Selangor dan Klang. Huruf a dalam perkataan ini disebut sebagai huruf e-taling. Ini bermakna penyebutannya adalah seperti yang berikut: Selengor dan Kleng
Jika kita melihat secara rawak, penyebutan ini digunakan oleh sebahagian besar masyarakat India. Kadang kala saya terdengar penyebutan yang sama bagi perkataan Selangor dan Klang dalam siaran radio Tamil. Kajian perlu dilakukan untuk memastikan perbezaan penyebutan perkataan-perkataan lain dalam bahasa Melayu yang digunakan oleh masyarakat India dan masyarakat lain. Perkara ini perlu dipastikan agar penggunaan bahasa Melayu oleh semua masyarakat adalah sama dan tidak berlaku perbezaan dalam penyebutan oleh masyarakat yang berlainan kaum. Hal ini penting untuk memelihara keaslian bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum. India
Rabu, 23 Februari 2011
Perbualan telefon antara pelajar yang memohon praktikum dengan kerani sekolah
Sin : Selamat pagi, puan.
Kerani: ya, selamat pagi.
Sin : Puan, saya hendak memohon kebenaran……………
Tirrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrr……….tirrrrrrrrr..tirrrrrrrrr ( talian kurang jelas)
Kerani: Siapa tu? Siapa tu? …………….sial betul.
Situasi ini berlaku kepada seorang rakan saya yang hendak memohon tempat praktikum di sebuah sekolah . Perkataan sial digunakan oleh seorang kerani sekolah itu menunjukkan betapa kurangnya etika dalam kalangan perkhidmatan awam. Harap semua pihak perlu beretika ketika berkomunikasi menerusi telefon kerana kita tidak berhadapan dengan orang yang kita bercakap. Kemungkinan besar perkara yang kita pertuturkan boleh menyinggung perasaan orang yang mendengar ujaran kita dalam telefon. Walaupun sesuatu talian tidak jelas janganlah ujarkan perkataan yang boleh menyinggung perasaan orang lain. Secara beradab, nyatakan bahawa talian kurang jelas dan cuba sekali lagi. Pihak sekolah perlu memberi kursus etika kepada staf-staf selain guru-guru di sekolah. Hasilnya, staf-staf yang beretika dan mempunyai nilai kesantunan yang tinggi dapat dibentuk.
Hukum D-M
Situasi ini berlaku dalam perbualan telefon.
Lin : Hi, apa khabar Shan?
Shan : Baik.
Lin :Lama kita tak berbualkan…
Shan :Yalah. Kenapa tiba-tiba awak telefon saya? Ada apa-apa urusan?
Lin :Tak adalah. Saya Cuma hendak bertanya sama ada goreng pisang betul ataupun pisang goreng betul
. Hari ini saya ternampak sebuah papan tanda yang tertulis goreng pisang. Mana satu yang betul?
. Hari ini saya ternampak sebuah papan tanda yang tertulis goreng pisang. Mana satu yang betul?
Shan :Sebenarnya, pisang goreng yang betul kerana menepati hukum DM, iaitu perkara yang diterang terlebih dahulu sebelum perkara yang menerang. Ada juga perkataan yang terkecuali daripada hukum ini seperti perkataan Perdana Menteri.
Lin : Oh..begitu. Terima kasih Shan.
Situasi ini memberi gambaran bahawa masyarakat masih belum terdedah kepada hukum-hukum dalam bahasa Melayu. Masyarakat perlu memberi perhatian terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam tujuan membuat papan tanda. Papan tanda akan membawa pengajaran bahasa yang salah dalam kalangan masyarakat. Sebagaimana dalam situasi ini mungkin ramai di luar sana yang beranggapan bahawa frasa goreng pisang yang betul. Oleh itu, para mahasiswa turut berperanan dalam mengatasi masalah ini. Pendedahan secara tidak langsung kepada masyarakat boleh dilakukan melalui penulisan ilmiah, surat khabar dan pelaksanaan kempen-kempen bahasa.
Amalan Bersalam
Situasi pertama minggu keempat
Hari ini saya bersama dengan beberapa orang rakan pergi ke sebuah Pusat Dalam Komuniti yang terletak di Slim River. Kami membuat penyelidikan di pusat tersebut untuk Kursus Modal Insan. Sewaktu sampai di pusat itu, kami disambut oleh pengurus-pengurus pusat tersebut dengan baik. Kami mengkaji penerapan ciri-ciri modal insan dalam organisasi tersebut. Saya mendapati penghuni-penghuni Pusat Komuniti itu terdiri daripada golongan yang lembab pembelajaran, hyperaktif, down syndrome dan sebagainya. Walaupun mereka mempunyai beberapa masalah genetik tetapi mereka masih mampu memberi salam kepada kami. Saya berasa kagum dengan amalan bersalam dalam kalangan mereka. Ramai masyarakat hari ini kurang mengamalkan budaya bersalam kerana sibuk dengan kerjaya masing-masing. Kita perlu mencontohi budaya memberi salam daripada penghuni-penghuni Pusat Komuniti itu. Amalan ini dapat menjalinkan persahabatan dalam masyarakat. Oleh itu, kita tidak harus bersikap seperti ‘ enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing’.
Rabu, 16 Februari 2011
Penggunaan Kata Panggilan Berdasarkan Pangkat
Saya teringatkan seorang pensyarah yang dulu memarahi pelajar yang tidak pandai menggunakan kata panggilan berdasarkan pangkat seseorang. Namun begitu, saya berasa pelajar tidak bersalah dalam hal ini walaupun pelajar seharusnya mengetahui pangkat seseorang sebelum menggunakan kata panggilan. Bagaimana pula jika kita baru mengenali seseorang di tempat awam? Mungkin pelajar sendiri tidak tahu pangkatnya. Disini persepsi luaran yang memainkan peranan penting bagi mempamerkan pangkatnya. Jika seseorang yang berpangkat tinggi tetapi berpakaian selekeh bermakna dia tidak mempamerkan pangkatnya. Oleh itu, kita tidak boleh menyalahkan pelajar sahaja dalam hal ini. Aspek luaran perlu diutamakan oleh semua pihak yang berpangkat tinggi sebab aspek ini diperhatikan terlebih dahulu ketika baru mengenali seseorang. Secara tuntasnya, saya berharap semua pihak yang berpangkat tinggi perlu menjaga cara pemakaiannya dan aspek-aspek luaran yang lain agar pelajar ataupun pihak lain tidak membuat persepsi yang kurang tepat. Bagi pelajar-pelajar pula, lebih baik menggunakan kata panggilan Encik ketika baru mengenali seseorang.
Layanan Baik Menarik Perhatian
Hari ini, saya bersama dengan rakan-rakan lain pergi bercuti di Kuala Lumpur sempena cuti perayaan Hari Keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. Setelah penat membeli-belah kami pun singgah di sebuah restoran untuk menjamah makanan. Saya berasa hairan dengan layanan daripada seorang pelayan restoran tersebut. Pelayan tersebut melayan kami dengan senyuman manis sambil bergurau senda. Penggunaan bahasa Melayunya amat baik walaupun dia berbangsa Cina. Dia juga memberi perkhidmatan yang baik dan selesa kepada kami. Walaupun kami lambat untuk memesan makanan tapi dia masih tetap berdiri di sebelah kami dengan penuh sabar. Layanan seperti ini jarang kita peroleh di restoran-restoran lain pada masa ini. Jika dibandingkan dengan restoran-restoran yang lain, pelanggan perlu menunggu untuk memesan makanan. Kadangkala pelayan tidak menggunakan bahasa Melayu dengan baik ataupun secara sopan. Penggunaan bahasa Melayu yang baik perlu digunakan oleh setiap pelayan bagi menarik perhatian pelanggan. Selain itu, layanan yang baik juga mampu menarik pelanggan untuk menjadikan sesebuah restoran sebagai pilihan mereka.
Pemandu Bas yang Tidak Menghormati Pelajar
Pada hari ini, kawan saya naik bas pada pukul 8.00 malam dari kolej Khar untuk pergi ke kolej Zaba kerana ada perbincangan kumpulan. Bas itu tidak bergerak walaupun rakan saya menunggu selama 30 minit. Oleh itu, rakan saya pun meminta daripada pemandu bas supaya bertolak dengan cepat. Pemandu bas tersebut menyoal rakan saya “ Adakah awak pergi jumpa boy friend pada waktu malam begini” Kawan saya menjelaskan bahawa dia hendak pergi untuk perbincangan kumpulan bersama rakan-rakan lain di kolej Zaba. Namun begitu, pemandu bas tersebut memarahi rakan saya dengan menyatakan bahawa budak-budak perempuan sekarang macam inilah. Dia juga memaki ibu bapa rakan saya.
Jika kita perhatikan situasi ini, seorang pemandu bas tidak menjalankan tugasnya untuk menghantar pelajar dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Pemandu bas tersebut menggunakan bahasa kasar ketika memaki seorang pelajar. Sebenarnya kesalahan berkomunikasi dengan cara yang salah akan menimbulkan masalah. Pemandu bas itu bukan seorang yang peramah. Tambahan pula, pemandu bas itu menggunakan bahasa yang menyinggung perasaan orang lain. Seseorang tidak harus menggunakan bahasa kasar ketika berkomunikasi dengan orang lain. Selain itu, seseorang tidak harus bersikap sibuk dengan urusan orang lain.
Ahad, 6 Februari 2011
Kesesakan Jalan Raya
Hari ini semasa saya pulang dari Ipoh ke Tanjung Malim, saya mendapati keadaan jalan raya amat sesak. Para pengguna jalan raya memandu secara tidak berhemah. Mereka memotong walaupun keadaan jalan raya amat sesak. Terdapat juga pemandu kereta yang memandu di bahagian kecemasan dan di bahagian jalan penunggang motosikal. Hasilnya, pergerakan penunggang motosikal terganggu. Sebenarnya di lebuh raya kereta boleh bergerak dengan baik sekiranya para pengguna berada di landasan masing-masing. Kesukaran berlaku apabila pemandu masing-masing memandu dengan sifat pentingkan diri sendiri. Akibatnya, pergerakan setiap pengguna jalan raya terganggu. Saya bertolak dari Ipoh pada pukul 2.30 petang tetapi sampai di Tanjung Malim pada pukul 7.30 malam. Semua pengguna perlu mengamalkan nilai tanggungjawab dan tidak bersifat mementingkan diri sendiri. Walaupun masing-masing ingin sampai ke destinasi dengan cepat tetapi kita juga perlu mematuhi undang-undang jalan raya. Selain itu, kita juga perlu prihatin terhadap pengguna jalan raya yang lain.
Kesalahan Bahasa di atas Jalan Raya
Pada hari ini, saya bersama keluarga melawat ke Taiping untuk menjemput saudara mara untuk perkahwinan abang saya yang akan berlangsung pada 6 Mac 2011. Setelah menjemput saudara mara, kami pun pulang ke Ipoh pada pukul 4 petang. Keadaan jalan raya dari Taiping ke Ipoh amat sesak. Perkara ini disebabkan ramai yang pulang ke Kuala Lumpur setelah Cuti Tahun Baru Cina tamat. Akibatnya, kereta kami pun bergerak secara perlahan. Akhirnya, kami pun hampir sampai ke Ipoh. Ketika itu saya memerhatikan beberapa tulisan yang ditulis di atas jalan raya. Tulisannya adalah seperti yang berikut:
Kanan Kiri
Ikut Ikut
KL Ipoh
Saya mendapati frasa ini mengandungi kesalahan bahasa. Sepatutnya frasa ini perlu diperbaiki seperti yang berikut:
KL Ipoh
Ikut Ikut
Kanan Kiri
Budi Bahasa Penting dalam Kehidupan Seharian
Pada hari ini, saya ingin membeli hadiah untuk rakan saya yang akan menyambut hari jadinya pada tarikh 7/ 2/2011. Sewaktu saya sedang melihat hadiah-hadiah di sekitar kedai tersebut. Ada seorang gadis melanggar saya. Pada mulanya, saya tidak menghiraukan perbuatannya. Namun begitu, gadis itu melanggar saya setiap kali di menerusi jalan yang sempit itu. Sepatutnya, gadis itu perlu minta izin daripada saya untuk menerusi jalan yang sempit itu. Selain itu, dia juga tidak memohon maaf setelah melanggar saya. Saya berasa kecewa dengan sikap gadis tersebut sebab dia tidak menghormati orang yang berada di sekitarnya. Kita harus berbudi bahasa dalam kehidupan seharian. Kita juga perlu memohon maaf sekiranya melanggar seseorang secara tidak sengaja. Perbuatan seseorang akan mencerminkan budi bahasa yang dimilikinya.
Pengguna Jalan Raya yang Kurang Prihatin
Hari ini saya pergi ke pusat membeli belah untuk membeli pakaian baru untuk perkahwinan abang saya. Saya pergi bersama dengan keluarga melalui kereta. Selepas tiba di pusat membeli belah, saya mencari tempat untuk meletak kereta. Setelah beberapa minit saya berjaya mencari satu tempat untuk meletak kereta. Tiba-tiba sebuah kereta bergerak secara laju dan meletakkan keretanya ( double parking). Kereta tersebut menghalang pergerakan kereta saya. Akibatnya, saya terpaksa menurun untuk memberitahu pemandu itu supaya meletakkan kereta pada garisan yang betul. Namun begitu, pemandu tersebut tidak menghiraukan permintaan saya dan dia terus berjalan. Kemudian, saya terpaksa mencari tempat lain untuk meletakkan kereta. Saya berharap perkara ini perlu dielakkan supaya tidak memberi kesukaran kepada orang lain. Sifat pentingkan diri akan memudaratkan diri kita sendiri.
Penggunaan Bahasa Rojak dan Perkataan I dan You
Hari ini, saya bercadang untuk pulang ke kampung pada pukul 7.00 petang. Oleh itu, selepas kelas tamat pada pukul 6.20 petang, saya pun berjalan menerusi pintu selatan UPSI ke stesen bas Tanjung Malim. Setelah sampai di stesen bas, saya pun membeli tiket bas. Kemudian, saya menunggu untuk bas sambil memerhati gelagat orang awam yang berada di sekitar stesen bas itu. Saya melihat beberapa orang pelajar perempuan sedang berbual dengan seorang wanita dalam Bahasa Melayu. Terdapat juga pelajar yang menggunakan bahasa rojak ketika berbual dengan wanita tersebut. Gaya wanita tersebut adalah seperti seorang guru. Sememangnya, wanita itu ialah seorang guru kerana pelajar-pelajar itu menggunakan panggilan Cikgu. Pelajar-pelajar tersebut menggunakan kata-kata seperti You dan I ketika berbual dengan guru tersebut. Sesungguhnya, bahasa rojak perlu dielakkan dalam pertuturan seharian agar keaslian Bahasa Melayu tidak dicemarkan. Selain itu, penggunaan kata-kata seperti You dan I dengan orang dewasa juga perlu dielakkan. Penggunaan perkataan You dan I kurang sopan apabila berinteraksi dengan orang yang lebih tua.
Rabu, 26 Januari 2011
Kata Panggilan 'Hoi'
Pada hari ini, saya dan rakan-rakan yang lain bercadang untuk membeli makanan di Nasi Kandar. Kami duduk di meja makan selepas membuat pesanan makanan. Saya melihat beberapa orang pelajar duduk di hadapan meja makan kami. Saya mendapati mereka menonton berita. Pada ketika itu, seorang pekerja Nasi Kandar secara tidak sengaja mengubah saluran berita kepada saluran Discovery. Akibatnya, kumpulan pelajar tersebut marah dan menyuruh pekerja tersebut supaya menukarkannya semula kepada saluran berita dengan suara yang tinggi. Mereka memanggil pekerja Nasi Kandar itu dengan panggilan ‘Hoi’. Berikut adalah situasi yang berlaku pada hari tersebut:
Kumpulan pelajar: hoi….hoi…hoi…hoi..berita..berita….berita ( suara yang tinggi)
Pekerja Nasi Kandar: Apa?... Berita…Ok
Setelah pekerja tersebut menukarkan semula kepada saluran berita.
Kumpulan pelajar: Haa, baru betul.
Dalam Bahasa Melayu terdapat beberapa panggilan hormat yang digunakan dalam pertuturan seharian. Panggilan seperti ‘Hoi’ perlu dielakkan dalam pertuturan kita. Kita perlu menghormati semua orang. Panggilan ‘Hoi’ boleh digantikan dengan panggilan ‘Encik’. Pertuturan akan menggambarkan peribadi seseorang. Saya berharap semua pembaca akan mengambil iktibar daripada peristiwa ini.
Isnin, 24 Januari 2011
Sikap Cuai Perlu Dielakkan
Minggu Kedua
Situasi Pertama :17/1/2011
Pada pukul 8.00 malam saya berasa sangat lapar. Oleh itu, saya membuat keputusan untuk membeli makanan di restoran yang berdekatan dengan kolej. Pada masa yang sama saya perlu menghantar beberapa nota kepada rakan saya tinggal di Arkid iaitu rumah sewa di hadapan kolej Harun Aminurrashid. Oleh itu, saya bercadang untuk menghantar nota kepada rakan saya selepas membeli makanan. Saya membawa beberapa buku yang tebal. Akibatnya , tangan saya dipenuhi dengan buku dan bungkusan makanan. Sewaktu saya berjalan menuju ke rumah rakan, tiba-tiba seorang pemuda menolak saya hingga jatuh secara tidak sengaja. Namun begitu, lelaki itu hanya mengucapkan “maaf tersilap” dan terus beredar dari tempat kejadian tetapi dia tidak menolong saya untuk memunggut semula buku dan bungkusan makanan yang terjatuh.
Kritikan
Walaupun pemuda tersebut tidak sengaja tetapi dia seharusnya menolong saya untuk memunggut semula buku tersebut. Kita perlu meminta maaf dengan ikhlas apabila melakukan kesalahan. Sikap pemuda yang tidak bertanggungjawab seperti itu boleh menyinggung perasaan seseorang. Sikap cuai seperti itu juga perlu dielakkan dalam kehidupan seharian.
Selasa, 18 Januari 2011
Penjual Tiket Bas Tidak Prihatin
Situasi kelima: Tarikh: 15/1/2011
Pada hari ini, saya bercadang untuk pulang ke kolej setelah bercuti di kampung selama dua hari. Oleh itu, saya berhasrat untuk membeli tiket pada pukul 1.30 petang. Saya menuju ke kaunter tiket di stesen bas Ipoh. Saya tidak membawa duit kecil untuk membeli tiket. Lelaki yang berada di kaunter menjual tiket tersebut memarahi saya dengan mengatakan “awak ini pelajarkan , awak tidak tahu untuk tukar duit semasa beli tiket, kenapa menyusahkan kami orang?”..pergi tukar dulu” marah penjual tersebut dengan suara yang tinggi. Saya berasa kecewa dengan layanan penjual tiket itu. Dia tidak cuba untuk memahami situasi saya sebelum memarahi.
Kritikan
Penjual tiket haruslah menghormati pembeli-pembeli tiket bas. Sesuatu teguran perlu diselitkan dengan nilai kesopanan. Dia tidak harus memarahi pembeli tiket sebaliknya memberi teguran secara sopan. Dia juga perlu memahami situasi pembeli tiket yang tidak membawa duit kecil kerana setiap orang ada masalah mereka sendiri.
Pelatih Kurang Peramah
Situasi Empat: Tarikh : 15/1/2011
Pada hari ini, saya telah pergi untuk mengikuti latihan menunggang motosikal. Di sana, saya memerhatikan beberapa orang sedang berlatih untuk menunggang motosikal. Sewaktu itu, seorang cikgu yang mengajar untuk menunggang motosikal menjerit kepada seorang gadis yang sedang berlatih untuk merentas papan 7 meter. Gadis tersebut terjatuh daripada papan itu ketika merentasnya. Cikgu itu memarahi gadis itu sehingga dia menanggis. Gadis tersebut berasa malu apabila dia dimarahi di khalayak ramai.
Kritikan
Tugas seorang cikgu adalah untuk mengajar dan membimbing seseorang untuk menunggang motosikal dengan baik sehingga mendapat lesen. Cikgu tersebut tidak harus memarahi gadis itu dengan kata-kata yang kesat yang sehingga menyebabkan gadis tersebut menanggis. Cikgu itu seharusnya menegur gadis tersebut secara peribadi dengan menggunakan kata-kata yang sopan. Perbuatan memarahi seseorang secara terbuka akan memburukkan lagi situasi. Saya berharap cikgu-cikgu yang mengajar untuk memandu akan bersikap peramah apabila membimbing pelajarnya.
PelangganTidak Dihormati
Situasi Tiga: Tarikh: 12/ 1/2011
Saya bersama-sama dengan rakan saya pergi ke Pekan untuk membeli pakaian. Sewaktu berjalan di Pekan kami terjumpa sebuah kedai Emas. Kawan saya membuat keputusan untuk mencuci cincin emasnya di kedai tersebut. Dia bertanya kepada wanita tersebut harga untuk mencuci cincin emasnya. Wanita tersebut memarahi rakan saya dengan mengatakan bahawa harga emas sudah naik dan tidak boleh mencuci cincin seperti itu dengan suara yang tinggi. Kami berasa begitu malu dengan perbuatan wanita tersebut. Kami berasa malu kerana terdapat ramai orang awam di situ.
Kritikan
Wanita tersebut sepatutnya melayan pelanggan dengan sopan. Kemajuan perniagaannya amat berkait rapat dengan layanan terhadap pelanggan. Wanita tersebut seharusnya menolak permintaan rakan saya dengan baik. Sesungguhnya, budi bahasa mencerminkan diri seseorang. Wanita tersebut perlu mengamalkan nilai kesopanan dalam pertuturannya. Saya berharap wanita tersebut mengubah sikapnya terhadap pelanggan.
Pemandu Bas yang tidak berhemah
Situasi Kedua: Tarikh: 11/1/2011
Pada hari ini, selepas kelas tamat, saya bercadang untuk pulang ke kolej. Saya menunggu rakan-rakan saya di perhentian bas. Pada ketika itu, saya melihat seorang pemandu bas kolej memandu secara berbahaya. Pemandu tersebut memandu dengan mengabaikan keselamatan pelajar. Dia menggerakkan bas ketika pelajar-pelajar sedang menaikinya. Ada beberapa pelajar yang hampir jatuh akibat perbuatan pemandu tersebut. Saya mendapati pemandu itu seorang yang tidak mampu mengawal emosinya. Oleh itu, dia cuba menunjukkan tingkah lakunya terhadap orang lain. Sesungguhnya, perbuatan seperti ini bukan saja akan membahayakan dirinya tetapi orang yang berada di sekelilingnya.
Kritikan
Pemandu tersebut perlu mengelakkan kelakuan yang berbahaya yang boleh mengancam nyawa pelajar. Dia harus pandai mengawal emosinya. Dia juga harus menikmati pekerjaannya agar fikirannya sentiasa tenang. Tambahan pula, pekerjaan ini yang memberi rezeki untuk menyara kehidupannya. Oleh itu, pemandu tersebut perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk menjadi insan yang tenang dan gembira. Hasilnya, dia akan menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap pekerjaannya.
Isnin, 17 Januari 2011
Bertelingkah untuk menonton rancangan kegemaran
Minggu Pertama
Situasi pertama: Tarikh :9/1/2011
Pada hari Ahad yang lalu, pelajar lelaki dan pelajar wanita saling bertelingkahan di restoran yang berdekatan dengan kolej kita. Mereka saling bertelingkah untuk menonton rancangan kegemaran masing-masing. Pelajar lelaki ingin menonton bola sepak manakala pelajar wanita ingin menonton rancangan juara lagu. Akibat daripada pertelingkahan ini, keadaan restoran tersebut menjadi riuh rendah. Perkara ini juga menarik perhatian orang awam yang berada di restoran tersebut.
Kritikan
Sepatutnya pelajar-pelajar perlu mengelakkan situasi seperti ini. Pelajar-pelajar seharusnya menyelesaikan masalah ini melalui perbincangan. Perbuatan seperti bertelingkah di tempat awam boleh menjatuhkan martabat pelajar kita sendiri selain nama universiti dan kolej. Oleh itu, sesuatu perkara perlu ditangani melalui perbincangan yang harmoni.
Langgan:
Catatan (Atom)



