Pada hari sabtu yang lalu, saya bercadang untuk membeli langsir di Kamdar. Setelah sampai di sana, saya mendapatkan seorang penjual untuk menyoal tentang harga langsir. Saya mendapati penjual tersebut langsung tidak memandang ke arah mata saya ketika berkomunikasi. Saya berasa kurang selesa apabila penjual itu berkomunikasi sambil memandang ke tempat lain. Saya cuba menarik perhatian penjual tersebut supaya memandang ke arah mata saya tetapi saya tidak berjaya melakukan perkara itu. Akibatnya, maklumat harga yang hendak disampaikan oleh penjual tersebut tidak dapat saya fahami. Saya beredar dari tempat itu untuk mencari penjual langsir yang lain. Melalui situasi ini, kita boleh merumuskan bahawa mata memainkan peranan yang penting dalam komunikasi. Mata adalah salah satu aspek bahasa badan kita yang membantu komunikasi verbal. Oleh itu, sesuatu maklumat yang hendak disampaikan perlu disokong oleh bahasa badan kita seperti mata. Ketika komunikasi seseorang itu haruslah saling memandang mata agar penyampaian dan penerimaan maklumat berlaku dengan berkesan. Keikhlasan seseorang ketika berkomunikasi juga boleh diperhatikan melalui mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan