Pengikut

Selasa, 15 Mac 2011

Gelaran Biar Betul Dan Baik

Saya teringatkan satu situasi yang sering berlaku sewaktu saya menyertai unit beruniform Jabatan perkhidmatan Awam. Jurulatih saya berasal dari daerah Ipoh. Saya sendiri sememangnya berasal dari daerah Ipoh. Saya menetap di bandar Menglembu di daerah Ipoh. Oleh itu, jurulatih selalu memanggil saya dengan gelaran lembu. Saya tidak pernah  tersinggung dengan gelaran tersebut kerana saya memahami makna tersirat gelaran lembu iaitu orang Menglembu. Namun begitu, saya berasa amat malu apabila beberapa rakan lain mula menyindir saya dengan gelaran yang sama. Sebenarnya, mereka tidak mengetahui sebab jurulatih tersebut memanggil saya dengan gelaran lembu. Akhirnya, saya terpaksa menjelaskan kepada rakan-rakan tersebut agar mereka berhenti daripada menyindir saya. Berdasarkan situasi ini, kita harus menggunakan gelaran yang sesuai ketika memanggil seseorang. Gelaran yang digunakan seharusnya tidak disalahtafsirkan oleh orang lain. Gelaran yang ditujukan juga tidak harus menyinggung perasaan seseorang itu.

Isnin, 14 Mac 2011

Bahasa Tamil Bukan Bahasa India

Kesalahan bahasa sering berlaku dalam kalangan masyarakat ketika mengkategorikan bahasa sesuatu bangsa terutamanya bahasa masyarakat India. Sejak dahulu lagi, saya sering terdengar masyarakat menyebut bahasa India dalam pertuturan seharian mereka. Masyarakat harus memahami bahawa perkataan 'India' merujuk kepada bangsa. Perkataan 'Tamil'  merujuk kepada bahasa. Oleh itu, masyarakat haruslah menyebut bahasa Tamil dan bukannya bahasa India. Bangsa India terbahagi kepada orang Tamil, orang Hindi, orang Malayalam, orang Telegu dan orang Punjabi dan sebagainya. Orang Malayalam mempunyai bahasanya sendiri iaitu bahasa Malayalam. Orang Punjabi dan orang Hindi masing-masing mempunyai bahasanya sendiri iaitu bahasa Punjabi dan bahasa Hindi. Kesemua masyarakat ini tergolong dalam satu bangsa iaitu bangsa India. Ini bermakna kita tidak boleh menggunakan bahasa India hanya untuk merujuk bahasa Tamil sahaja kerana bahasa India bermaksud semua bahasa masyarakat India seperti bahasa Telegu, Malayalam, Hindi, Tamil, Punjabi dan sebagainya. Ringkasnya, perkataan 'India' merujuk kepada bangsa manakala perkataan 'Tamil' merujuk kepada bahasa.

Jumaat, 11 Mac 2011

Jurujual Wanita Bukan Penjual Gadis


 Gambar ini menunjukkan kesalahan bahasa yang keterlaluan. Penterjemahan bahasa Inggeris secara terus kepada bahasa Melayu akan mewujudkan kesalahan bahasa. Berdasarkan gambar ini, perkataan 'sales girls' sepatutnya digantikan dengan perkataan 'jurujual wanita' dan bukanya 'penjual gadis'. Perkataan 'penjual gadis' membawa makna yang negatif. Sekaligus, perkataan ini akan disalahtafsirkan oleh masyarakat yang membacanya. Masyarakat yang kurang berpendidikan juga akan menganggap perkataan  ini betul dan mereka akan menggunakan perkataan ini secara luas dalam kehidupan seharian. Sekiranya, iklan-iklan yang tidak menggunakan bahasa Melayu yang betul akan meninggalkan kesan terhadap penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat. Saya berharap pihak-pihak yang hendak menghasilkan iklan-iklan harus menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul. Oleh itu,  pihak-pihak yang terlibat harus merujuk kepada seseorang yang pakar dalam bahasa Melayu sebelum menghasilkan sebarang iklan.
'

Iklan Petronas 2001



Iklan ini menarik perhatian saya untuk memaparkannya dalam blog Sosiolinguistik. Iklan ini mengisahkan seorang kanak-kanak yang berdoa agar Tuhan menyelamatkan ayahnya yang belum pulang. Seterusnya, kanak-kanak ini berdoa untuk kanak-kanak di negara yang sedang berlaku peperangan supaya ayah mereka juga pulang untuk Hari Raya. Iklan ini menunjukkan amalan berdoa amat penting dalam kehidupan manusia. Sikap baik hati sesama manusia juga penting dalam hidup kita. Walaupun kanak-kanak itu tidak mengenal budak-budak di dalam peperangan tetapi dia berdoa agar ayah mereka juga pulang untuk beraya. Kasih sayang antara sesama insan  adalah motif iklan ini. Ringkasnya, amalan berdoa dan kasih sayang antara sesama insan diutamakan dalam iklan ini. Oleh itu, kita perlula berdoa dan menyayangi semua insan dalam dunia ini.

Bahasa SMS

http://maharamdotcom.blogspot.com/2009/01/bahasa-sms.html
Mengikut pandangan saya, bahasa SMS mencemarkan bahasa Melayu. Saya lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris ketika menghantar pesanan ringkas kepada kawan. Hal ini disebabkan saya memang tidak pandai menggunakan singkatan dalam bahasa Melayu. Saya juga berasa penggunaan singkatan dalam bahasa Melayu secara berleluasa akan mencemarkan bahasa Melayu. Alasan ini saya kemukakan kepada seorang rakan yang menegur saya kerana menggunakan bahasa Inggeris ketika menghantar pesanan ringkas kepada rakan lain. Berikut adalah situasi perbualan kami:

Yus: Awak guna bahasa Inggeris ketika hantar sms? Gunalah bahasa Melayu.

Saya: Saya tidak suka menggunakan bahasa Melayu. Saya tidak suka mencemarkan bahasa Melayu dengan penggunaan singkatan-singkatan yang tidak betul. Lagipun saya senang menggunakan bahasa Inggeris.

Yus: Tak macam itu. Kamu gunakan bahasa Melayulah. Kitakan kursus bahasa Melayu.

Saya: Saya tak faham bahasa singkatan yang keterlaluan. Hari itu kawan saya hantar pesanan ringkas.Saya langsung tak faham pesanan yang dihantarnya. Kawan saya hantar pesan ringkas seperti yang berikut:
     pn2 tup. mari buka krg

Yus: Pin 2 maksudnya pintu tutup. Mari buka sekarang.

Saya: Itulah sebabnya saya tidak suka menggunakan bahasa Melayu ketika menghantar pesanan ringkas.

Berdasarkan situasi ini, saya berasa penggunaan singkatan yang keterlaluan dalam bahasa Melayu akan mencemarkan bahasa Melayu. Saya menyeru kepada orang ramai agar menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Kita tidak mampu menyelamatkan bahasa Melayu dengan hanya memansuhkan PPSMI sahaja. Penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul oleh masyarakat keseluruhan akan menjamin martabat bahasa Melayu.



Kesantunan Bahasa di Kaunter Pertanyaan

Kaunter Pertanyaan merupakan tempat orang ramai berkunjung untuk sesuatu urusan. Namun begitu, kesantunan berbahasa di Kaunter Pertanyaan terutama di jabatan-jabatan universiti semakin berkurangan. Perhatikan situasi di bawah ini:

Pelajar: Selamat sejahtera puan. Saya ingin mendapatkan tandatangan daripada Timbalan Dekan.
Kerani: Untuk apa? (suara keras).
Pelajar: Saya ingin menambahkan jam kredit.
Kerani: Kamu pergi mendapatkan tandatangan sendiri. Kemudian balik semula ke sini, Baru saya akan buka
            online.

Pelajar ini mendapati terdapat satu memo dilekatkan di pintu bilik Timbalan Dekan. Memo tersebut  menyatakan bahawa sebarang borang yang perlu mendapatkan tandatangan daripadanya boleh dihantar ke Kaunter Pertanyaan. Oleh itu, pelajar tesebut pergi semula ke Kaunter Pertanyaan.

Kerani: Sudah dapat tandatangan?(suara keras)
Pelajar: Belum lagi. Saya terlihat memo di pintu bilik Timbalan Dekan menyatakan bahawa borang boleh
            dihantar di sini untuk mendapatkan tandatangan daripadanya.
Kerani: Oh, yakah. Kalau Timbalan Dekan dah suruh, apa saya boleh buat. Hantarlah borang di sini.Nanti
            esok atau lusa awak datang sini untuk ambil borang ini ya. (suara yang lembut dan sopan)
Pelajar: Terima Kasih.

Berdasarkan situasi ini, anda semua boleh perhatikan kelakuan kerani tersebut yang tiba-tiba bertukar menjadi baik setelah memahami arahan Timbalan Dekan dalam memo tersebut. Perkara ini menunjukkan kesantunan berbahasa di Kaunter Pertanyaan kurang memuaskan. Kesantunan berbahasa mereka hanya terserlah pada waktu-waktu yang tertentu sahaja. Seharusnya, kesantunan berbahasa perlu diutamakan di semua Kaunter Pertanyaan kerana perkara ini terkandung dalam etika kerjaya mereka. Jika mereka tidak mengamalkan kesantunan berbahasa di Kaunter Pertanyaan bermakna mereka sudah melanggar etika kerjaya. Sesungguhnya, kesantunan berbahasa mencerminkan peribadi seseorang. Oleh itu, saya berharap agar semua pihak yang terlibat dalam kerjaya ini harus mengamalkan kesantunan berbahasa ketika berurusan dengan semua pihak.

Khamis, 10 Mac 2011

Mata Sebagai Alat Komunikasi

 Pada hari sabtu yang lalu, saya bercadang untuk membeli langsir di Kamdar. Setelah sampai di sana, saya mendapatkan seorang penjual untuk menyoal tentang harga langsir. Saya mendapati penjual tersebut langsung tidak memandang ke arah mata saya ketika berkomunikasi. Saya berasa kurang selesa apabila penjual itu berkomunikasi sambil memandang ke tempat lain. Saya cuba menarik perhatian penjual tersebut supaya memandang ke arah mata saya tetapi saya tidak berjaya melakukan perkara itu. Akibatnya, maklumat harga yang hendak disampaikan oleh penjual tersebut tidak dapat saya fahami. Saya beredar dari tempat itu untuk mencari penjual langsir yang lain. Melalui situasi ini, kita boleh merumuskan bahawa mata memainkan peranan yang penting dalam komunikasi. Mata adalah salah satu aspek bahasa badan kita yang membantu komunikasi verbal. Oleh itu, sesuatu maklumat yang hendak disampaikan perlu disokong oleh bahasa badan kita seperti mata. Ketika komunikasi seseorang itu haruslah saling memandang mata agar penyampaian dan penerimaan maklumat berlaku dengan berkesan. Keikhlasan seseorang ketika berkomunikasi juga boleh diperhatikan melalui mata.